Anak-anak ataupun digelar sebagai
remaja ini mampu membangunkan sesebuah negara jika mereka mempunyai sahsiah
yang mulia dalam diri mereka. Perkara ini sering menjadi bahan perbincangan
dalam kalangan ibu bapa dan pemimpin negara. Dalam era milineum yang kian
mencabar ini, pelbagai episod sedih dan malang terpapar di dada-dada akhbar
malah sering kita terdengar di corong-corong radio. Acapkali kita tersentak dengan
masalah kebejatan akhlak remaja yang berlaku di negara kita. Ada yang sanggup
merogol remaja wanita kerana perasaan cemburu butanya sehingga remaja malang
tersebut meninggal dunia akibat dikelar oleh manusia yang bersifat kebinatangan
ini. Isu-isu seumpama ini sudah tentu akan merencatkan ketamadunan bangsa malah
akan turut mencemarkan imej negara di mata dunia. Masalah ini tidak seharusnya
dipandang enteng. Langkah-langkah pencegahan perlu diambil demi kesejahteraan
hidup sejagat dan menjamin pembangunan negara. Oleh itu, semua pihak haruslah
memainkan peranan masing-masing kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi.
Salah satu peranan yang harus
dilaksanakan oleh ibu bapa adalah dengan menjadi suri teladan kepada anak-anak
kerana ibu bapa yang mencerminkan sahsiah peribadi anak-anak. Seseorang ibu
bapa itu haruslah menunjukkan sikap yang positif kepada anak-anak. Sebagai
contoh, ibu bapa perlulah bertutur dengan bahasa yang sopan, tidak bergaduh
antara suami isteri di hadapan anak-anak, tidak merokok di hadapan anak-anak
dan sebagainya. Dengan berbuat demikian, anak-anak pasti akan mengikut dan
menjadikan ibu bapa mereka sebagai suri teladan kepada mereka. Hal ini persis
dengan kata pepatah, “bagaimana acuan, begitulah kuihnya” yang membawa maksud seseorang
anak akan meniru perangai dan kelakuan ibu bapa mereka. Dengan ini, usaha untuk
merealisasikan pembangunan negara dapat dijayakan dengan lahirnya remaja yang
bersahsiah mulia. Tegasnya, sahsiah mulia anak-anak dapat dibentuk melalui
sahsiah ibu bapa. Jika ibu bapa itu bersikap baik anak-anak juga akan menjadi
baik, manakala jika ibu bapa itu bersikap buruk, anak-anak juga akan turut
bersikap buruk.
Selain itu, ibu bapa juga dapat
memainkan peranan mereka dengan memberikan dirikan agama yang mantap kepada
golongan remaja. Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ada menegaskan bahawa irama dan
lagu tidak dapat dipisahkan. Jika dipisahkan maka pincanglah karya tersebut.
Hal ini bertepatan dengan konsep remaja dan didikan agama. Mereka akan pincang
sekiranya ibu bapa memandang enteng dalam soal memberikan didikan agama kepada
remaja. Pembentukan sahsiah remaja ini akan telus dan lancar jika mereka diberi
didikan agama yang sempurna. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan didikan
agama yang utuh, anak-anak akan dapat membezakan antara intan dengan kaca,
antara batu dengan permata serta mampu untuk menangkis segala hasutan manusia
yang bertopengkan syaitan. Sebagai contoh, remaja akan sentiasa mengamalkan
akhlak terpuji dan bertindak mengikut hukum syariat Islam mahupun mengikut
kefahaman agama masing-masing tanpa paksaan atau menerima tempias masalah
sosial yang kian membarah seperti kes pembuangan bayi. Sekiranya remaja
memiliki nilai kegamaan yang teguh maka teguhlah pembangunan sesebuah negara
itu. Jelaslah bahawa suntikan didikan agama ke dalam jiwa setiap remaja kerana
kedangkalan didikan agama akan melahirkan remaja yang bersikap negatif dan
tersasar dari landasan ibarat kapal hilang nakhoda, karam di tengah laut.
Jika dilihat dari dimensi yang berbeza,
pihak kerajaan juga berperanan dengan mengadakan satu kempen kesedaran yang
efektif. Kempen kesedaran ini boleh menggunakan kecanggihan media massa yang
wujud di negara ini untuk mencapai tahap keberksanan yang sebaik mungkin.
Kempen seperti ‘Kami Prihatin’ dan ‘Budi Bahasa Budaya Kita’ haruslah dilakukan
secara berterusan dan janganlah sekadar hangat-hangat tahi ayam kerana akan
menyebabkan kerugian kepada negara kita sendiri. Kempen yang dirangka dengan
baik dan dilaksanakan sepanjang tahun berupaya untuk membentuk satu kesedaran
dalam naluri masyarakat kita terutamanya
remaja yang sememangnya dahaga akan kesedaran sejati itu. Kerajaan perlu mengadakan kempen-kempen kesedaran
kepada masyarakat sama ada di desa ataupun di bandar-bandar besar yang sedang
mengalami proses pembangunan ekonomi. Jika inisiatif untuk memupuk nilai-nilai
murni dalam diri masyarakat tidak dilakukan oleh pihak kerajaan maka masyarakat
pada hari ini akan terus hanyut dalam dunia modenisasi ini. Oleh itu, peranan pihak kerajaan untuk mengadakan
kempen ini dapat memastikan golongan yang disandarkan harapan pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara
ini akan terus dibasahi sahsiah-sahsiah yang mulia segali gus dapat
membangunkan negara pada masa hadapan.
Seperkara lagi, guru juga memainkan
peranan yang penting dalam usaha melahirkan remaja yang bersahsiah mulia untuk
membangunkan negara. Kebanyakan remaja kita merupakan golongan pelajar. Mereka
banyak menghabiskan masa di sekolah selain di rumah. Guru juga merupakan ibu bapa
mereka di sekolah. Jadi, tidak hairanlah jika dikatakan guru mampu membentuk
sahsiah seseorang remaja itu. Guru perlu mengajar murid tentang kepentingan
bersahsiah mulia. Guru tidak seharusnya leka dalam menjalankan obligasi mereka
sebagai pendidik yang berkesan kerana setiap ajaran guru akan melekat dalam
sukma pelajar dan akan diaplikasikan dalam kehidupan mereka. Sehubungan dengan
itu, guru perlu menitikberatkan aspek pembentukan insan yang kamil dan holistik
di dalam kelas di samping menekankan kepentingan berperibadi mulia untuk
membangunkan negara. Mata pelajaran
Pendidikan Moral dan Pendidikan Agama Islam perlu diajar oleh guru-guru dengan
pengisian aktiviti pembelajaran yang menarik dan berkesan supaya objektif yang
dirancang tidak tersasar. Izharlah bahawa peranan yang dijalankan dengan penuh
istiqamah ini sudah pasti dapat melahirkan remaja yang bersahsiah mulia.
Bukan itu sahaja, sebagai anggota
masyarakat, kitajuga tidak harus mengambil langkah lepas tangan
untuk memainkan peranan dalam pembentukan sahsiah remaja yang syumul. Kita
seharusnya peka terhadap keruntuhan akhlak yang berlaku seperti gejala lepak,
ponteng, penagihan dadah yang dilakukan oleh remaja kita. Ada masanya kita
harus menjaga tepi kain orang dalam
usaha untuk mewujudkan golongan remaja yang lebih baik seperti menegur
tingkah laku yang kurang memuaskan serta melaporkan gejala sosial yang serius
kepada pihak yang sepatutnya agar hal
ini tidak menjadi kudis yang seterusnya bernanah dalam masyarakat kita. Sifat
ambil peduli masyarakat merupakan penawar kepada masyarakat yang mendokong
nilai-nilai murni. Seterusnya, usaha menerapkan nilai-nilai murni seperti
menghormati orang tua, menjaga kesopanan di khalayak ramai, mengunjungi rumah
jiran, dan berinteraksi antara kaum mampu melahirkan satu bangsa Malaysia yang
moden tetapi penuh budaya tersendiri. Usaha ini harus diteruskan kerana
generasi muda sering berubah dan keadaan turut berubah tetapi nilai murni akan
terus kekal seperti tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Ringkasnya,
dengan adanya sokongan dan kerjasama daripada pihak komuniti maka golongan
remaja kita dapat membangunkan negara sekiranya mereka memiliki sahsiah yang
mulia.
Sebagai intihanya, bayang kian jelas
bahawa semua pihak berwajib perlulah memikul dan melaksanakan obligasi
masing-masing dengan sempurna. Hal ini kerana usaha daripada satu pihak sahaja
tidak akan mendatangkan apa-apa hasil, seperti kata pepatah bertepuk sebelah
tangan tidak akan berbunyi. Kerjasama dan usaha bersungguh-sungguh perlulah
dilakukan secara bersungguh-sungguh, bukannya sekadar melepaskan batuk di
tangga sahaja. Tanpa kerjasama yang menyeluruh, usaha untuk melahirkan remaja
yang bersahsiah mulia akan menjadi sia-sia seperti membuang garam ke laut. Oleh
itu, setiap lapisan rakyat perlu bersinergi bagai aur dengan tebing dan
mengamalkan sikap berat sama dipikul, ringan sama dijinjing untuk membangunkan
negara. Sesungguhnya, kita mampu untuk
melakukannya kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Pelbagai pihak
perlulah memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing kerana kalau tidak
dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Ayuh, singkirkan semua bicara,
kumpulkan tenaga raksasa, tiba saat berbunga merah, serentak kita bersama ke
arah masyarakat yang mendokong nilai-nilai murni.
No comments:
Post a Comment